top of page
Search

Kebaikan mengembara berkumpulan

  • The Outdoor
  • Jan 11, 2017
  • 2 min read

Kita sering dengar melancong atau mengembara bersendirian mempunyai banyak kelebihan daripada melancong berkumpulan samada bersama keluarga ataupun rakan. Kebanyakan pengembara melancong bersendirian kerana inginkan kebebasan dan mengatur pelan perjalanan mengikut citarasa sendiri.

Walaubagaiamanpun, saya memilih untuk mengembara secara berkumpulan yakni bersama keluarga dan rakan kerana ia juga boleh mendatangkan kebaikan kepada saya dan perhubungan sesama pengembara.

1. Yakin ada pertolongan langsung semasa kecemasan.

Orang mengatakan mengembara solo membuatkan saya lebih berdikari dan yakin dengan diri sendiri. Memang betul dan tidak dapat dinafikan mengembara solo mengajar keyakinan diri, tetapi apabila kita berada di waktu kecemasan seperti jatuh sakit, kehabisan wang atau dirompak ditempat yang asing dan berjauhan dengan orang yang kita kenali kita memerlukan kenalan untuk pertolongan langsung atau ."first hand help"

Ramai berpendapat kita boleh meminta pertolongan daripada orang tempatan, tetapi dengan adanya teman mengembara, saya yakin saya akan mendapat pertolongan langsung semasa kecemasan.

2. Mengeratkan hubungan sesama pengembara

Saya sering membaca betapa seronoknya mendapat kenalan baru semasa mengembara. Ya, saya tidak menolak kebenaran tersebut tetapi saya lebih suka berkongsi detik-detik indah bersama orang yang saya sayang seperti pasangan, keluarga, atau rakan.

Disamping itu saya juga boleh mengeratkan hubungan dengan rakan pengembara saya. Contohnya, saya mudah berkongsi cerita atau minat semasa dalam keadaan tenang dan gembira. Ini sedikit sebanyak meningkatkan kepercayaan saya kepada mereka.

3. Meningkatkan cara berkomunikasi

Semasa mengembara solo, kebanyakan masa saya tidak banyak bercakap kecuali bertanyakan arah atau membeli belah. Dengan adanya rakan mengembara, saya boleh menilai tahap komunikasi saya.

Seperti jika ada perbezaan pendapat semasa mengembara, saya sering memikirkan bagaimana untuk berkomunikasi dengan tepat supaya dapat mengelakkan perbalahan.

4. Makan, makan, makan

Sebagai orang Malaysia, makanan adalah perkara utama yang difikirkan semasa mengembara, tidak hairanlah mengembara di luar negara atau di dalam negara. Jika mengembara solo, saya merasakan banyak makanan yang lazat atau makanan tempatan yang tertinggal dalam senarai saya kerana pemilihan makanan mengikut citarasa sendiri.

Jika mengembara berkumpulan saya boleh mendapat pelbagai idea dan cadangan daripada mereka serta merasai pelbagai jenis makanan. Ya, saya boleh memesan makanan semasa mengembara tetapi saya tidak mampu merasa kesemuanya sepanjang tempoh perjalanan.

5. Bebas dan fleksibel

Ramai orang bersetuju mengembara solo membolehkan anda menyusun pelan pelancongan mengikut citarasa sendiri. Mengembara berkumpulan membuatkan anda berasa rumit untuk memuaskan citarasa masing-masing.

Namun, bagi pendapat saya untuk menyelesaikan perkara ini anda haruslah mencari rakan mengembara yang betul dan mencapai kata sepakat sebelum perjalanan. Anda mempunyai banyak masa untuk menyusun pelan sebelum mengembara. Tidak dapat dinafikan memang leceh untuk menyusun pelan dengan pendapat yang berlainan tetapi ingat! Carilah teman mengembara yang boleh mencapai kata sepakat.

6. Masa sendirian

Ya mengembara solo memberikan anda lebih masa untuk bersendirian atau “me time” bagi penilaian diri sendiri. Bagi saya, jika kita mempunyai teman mengembara yang betul, kita juga boleh melakukan sedemikian. Mengembara dalam kumpulan besar atau kecil ia tetap keputusan anda sendiri untuk meluangkan masa bersendirian.

Saya berpendapat mengembara adalah saat-saat istimewa yang subjektif. Saya bersetuju pengembara solo membuatkan kita dikagumi dan dipandang tinggi tapi tidak bermaksud mengembara berkumpulan manjadikan kita dipandang rendah dan tidak berdikari.

Secara jujurnya tiada beza antara mengembara solo dan berkumpulan kerana objektif mengembara atau melancong adalah untuk menikmati setiap saat perjalanan.

Source Tripzilla


 
 
 

Comentários


Recent Posts
Archive
bottom of page